- tiada lagi derai tawa mu -
Jun 21, 2013
perpisahan tak pernah mudah.
kita tak pernah tahu apakah mungkin bertemu lagi pada lain ketika.
apatah lagi jika kita sedar, perpisahan itu adalah abadi sifatnya.
terpisah antara dua dunia.
pasti terkesan bila orang yg rapat atau kita sangka akan terus berada sekeliling kita, tiba-tiba pergi tak kembali lagi.
seorang kawan sekolah, kemudian terputus hubungan bila kita membina hidup dan kerjaya lalu terpisah lah. kita ingatkan memori sekolah itu hanya tinggal memori.
dalam lipatan kenangan sebagai nostalgia yg sesekali manggamit rasa.
tapi, takdir menentukan pertemuan semula.
...dan sejak itu kawan sekolah tadi menjadi kawan yg lebih rapat. bukan sekadar kawan sekolah tapi kawan dalam kehidupan kita.
kerana kedewasaan mengajar kita lebih menghargai erti sahabat.
tiba-tiba kita dipisahkan kembali.
kali ini aku sedar. tidak akan ada pertemuan kembali.
takdir sudah memisahkan kita buat selama-lamanya.
kalau 4 bulan dulu kau menghubungi ku atas berita sedih kepergian isterimu.
kesedihan itu kita kongsi bersama.
aku ingat kata-katamu "nampaknya tak dapatlah kau rasa laksa johor kesukaan kau tu. sebab wife aku takde lagi dah..."
ya, setiap kali aku bertandang ke rumahmu, itulah yg dihidangkan.
kali ini, aku terima berita, kepergianmu kawan...
menyusul arwah isterimu itu.
dalam usia yg sebegini muda, siapa pun takkan menjangkakannya.
di waktu kau sedang berada di puncak kerjaya.
meski tangis ini cuba aku tahankan seboleh mungkin.
tapi kesedihan tak terbendung, bila terpandangkan anak-anak kecilmu.
bagaimana nanti mereka meneruskan kehidupan dalam usia mentah itu tanpa ayah ibu di sisi.
tapi aku pasti, mereka sudah terdidik sebaik-baiknya oleh mu.
ya, pagi semalam. seperti biasa kau akan hantarkan anak-anak ke sekolah.
seperti sepatutnya, kemudian kau akan ke tempat kerja.
tapi kau berpatah balik menuju ke klinik. rasa sakit dada dan sesak nafas, mungkin.
siapa sangka pagi itu adalah kali terakhir kau menghantar anakmu ke sekolah.
di klinik, kau tak sedarkan diri. diserang sakit jantung.
doktor di klinik itu cuba membantu. tapi ikhtiar manusia meskipun doktor, tak mampu menahan ketentuan-Nya.
itulah berita yg disampaikan kepada aku...
kenangan antara kita takkan luput di ingatan.
hari-hariku selepas ini harus diteruskan tanpa kau lagi.
semalam, akan tercatat dalam sejarah hidupku sampai bila-bila.
sebagai antara hari-hari paling sedih dalam hidup ku.
aku kehilangan seorang, kawan, sahabat, saudara, abang, tempat berkongsi tawa dan duka...
naza...damailah kau di sisi-Nya.
al-fatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 refleksi:
al-fatihah
aku tumpang sedih kawan
SERIUS SEDIH MMBACANYA
ALFATIHAH
Post a Comment