- terima kasih, cikgu . . . -

May 16, 2012

hari ni hari guru.
kalau dulu masa kat sekolah. hari ni adalah hari untuk 'mendera' cikgu.
hari inilah nak tengok cikgu mana yg paling sporting.
cikgu kena nyanyi, cikgu lelaki kena main bola jaring, cikgu perempuan kena main bola sepak, ada sukaneka yg sengaja nak 'mengenakan' cikgu, cikgu dipakaikan uniform sekolah.
dan paling best...ada makan-makan.
biasanya cikgu yg popular akan dapat banyak hadiah dan bunga.
cikgu yg garang tu, melopong aje lah.

aku tak tahulah apa suasananya sekarang.
mungkin lebih meriah daripada dulu. entah lah.
atau lebih suram atau sambutan yg formal. ucapan guru, ucapan wakil murid....disudahi jamuan.

semakin jauh daripada alam persekolahan (dengan kata lain, makin tua la...). semakin banyak yg dah luput daripada ingatan. terutama nama-nama cikgu. walaupun masih ingat subjek apa yg mereka ajar.

ini antara yg aku masih ingat. yg lain bukan tak ingat. setiap daripada mereka mempengaruhi hidup aku. setiap ilmu yg mereka sampaikan amat bermanfaat untuk masa depan aku. walaupun aku akui, tak semua mereka aku suka. tapi suka atau tidak itu subjektif sifatnya. mungkin subjek yg kita minat, maka cikgunya juga kita suka. subjek yg kita tak minat, kita tak berapa suka cikgunya...itu pandangan aku lah.

cikgu thomas
mengajar bahasa inggeris. sangat garang orangnya. aku pernah kena berdiri atas meja  (bukan kerusi)sebab berkali-kali gagal kuiz spelling. buku latihan aku juga pernah dicampakkan ke luar tingkap (dan jatuh ke tingkat bawah) kerana homework tak siap. kena tengking dalam kelasnya itu biasalah.
tapi suatu hari, cikgu thomas jatuh sakit. diserang sakit jantung. dimasukkan ke hospital.
tak ramai yg melawat. aku masih ingat, aku ajak kawan-kawan sekelas...seorang pun tak nak ikut. akhirnya aku tumpang kereta cikgu sejarah untuk melawatnya di hospital.

sejak kejadian itu, cikgu thomas berubah sikap. tak garang langsung. malah sangat kelakar dalam kelas. dia jadi rapat dengan aku. aku yg dulunya lemah dalam subjek english dan takde harapan nak lulus tak sangka akhirnya boleh score dalam exam. berkat tuisyen percuma yg diberikan oleh cikgu thomas.

cikgu ibrahim
cikgu BM. sejak sekolah rendah aku memang handal dalam BM. cuma aku akuilah agak nakal sikit. terutama di sekolah menengah. perkara yg paling aku malas ialah buat homework. tak pernah siap kalau kena buat karangan, atau kefahaman.

tapi entah kenapa result untuk exam BM aku tak pernah jatuh. cikgu ibrahim selaku panitia subjek tu perlu pilih pelajar untuk mewakili sekolah dalam kuiz BM. mula-mula peringkat antara kelas. dia terpaksa pilih 4 pelajar terbaik. walaupun aku tahu, dia tak berapa 'berkenan' dengan kenakalan aku, tetapi atas sikap profesionalnya dia mengetepikan sentimen dan pilih aku sebagai wakil kelas.

nak dijadikan cerita. kelas kami menjadi juara antara kelas. dan terpilih mewakili sekolah. seterusnya menang di peringkat daerah dan akhirnya juara negeri. bukan nak akat bakul, aku dipilih sebagai peserta kuiz terbaik...
...dan cikgu ibrahim menghadiahkan aku jam tangan. "jangan beritahu yg lain..."pesannya.
jam itu masih ada dalam simpanan aku hingga hari ini.

cikgu kalthum
aku masih ingat sebab namanya sangat klasik. cikgu kelas semasa aku form 3. ya, tahun peperiksaan.
aku ada masalah sikit. subjek yg aku minat, aku score. subjek yg aku tak minat, aku failed. bukan sebab aku tak boleh buat tapi masalah orang kata ada masalah psikologi.

aku masih ingat, 2 bulan sebelum peperiksaan sebenar, cikgu kalthum bagitau nak jumpa aku lepas sekolah. aku tak tahu apa tujuannya. tengah hari tu, dia bawak aku ke pekan seremban. dia belanja aku makan tengah hari. weh...malu aku. cikgu perempuan ajak aku dating.
lagipun cikgu kalthum ni lawa orangnya, masih muda.

dalam restoran tu, dia curahkan segala nasihat. ibarat seorang kakak pada adiknya.
"saya sayang awak. awak ni pandai. tapi cuma malas dan nakal sikit...." kata-kata itu adalah kata keramat bagi aku.
aku tak tahu kenapa cikgu kalthum ambil berat sangat pasal aku. dan aku seorang saja yg dapat 'layanan istimewa' daripadanya.

peristiwa tengah hari itu telah membuka pintu hati aku. dalam temboh 2 bulan terakhir itu, aku belajar bagai nak rak. dan akhirnya lulus periksa dengan cemerlang. kalau tidak aku mungkin tak jadi 'orang'.

cikgu rohani
aku rasa pernah ceritakan pasal cikgu rohani dalam blog ni.
cikgu kelas aku semasa form six. masa tu aku down sangat. walaupun, result SPM boleh dikatakan baik, tapi aku tak lepas ke mana pun.
ramai kawan baik aku ditawarkan belajar ke oversea, ke kolej, matrikulasi dan universiti. cuma aku yg tertinggal di belakang. aku rasa kecewa. dan pelajaran aku semasa form six merosot habis.

hinggalah suatu hari cikgu rohani mengadakan perbincangan hati ke hati dengan aku. antara kata-katanya yg masih aku ingat. "saya tahu awak lebih baik daripada apa yg awak boleh buat. takkanlah awak nak sia-siakan 2 tahun ini (form 6) nak meratapi nasib awak. awak akan rugi dan menyesal sepanjang hayat..."

dia 'memaksa' aku menyertai study group. belikan aku buku latihan dan rujukan. and the rest is history...aku balas segala keprihatinannya itu dengan melangkah ke menara gading.


**********

buat cikgu thomas, cikgu ibrahim, cikgu kalthum dan cikgu rohani. jasamu sentiasa aku kenang.
buat semua cikgu yg pernah mengajarku...terima kasih atas ilmu yg kau curahkan.

termasuklah,
cikgu halim, yg pernah aku pancitkan tayar keretanya.
cikgu helen, yg pernah aku letakkan ular plastik dalam begnya.
cikgu rosli, yg pernah aku sorokkan topi keledarnya.
cikgu rozie, yg pernah aku cakar buku log mengajarnya.
cikgu magesh, sebab selalu ponteng kelas matematiknya dan hadiahkannya bunga tahi ayam.

dan setiap seorangnya yg tidak dapat aku namakan di sini. sama ada terlalu panjang listnya, atau aku dah lupa nama mereka.


3 refleksi:

Irfa said...

aku igt nak buat cam ni gak..tulis kenangan aky dgn cikgu.tapi aku malas nak menaip..so jdilah dgn apa yg ada.
hehe

bangsawan nilai said...

cikgu yg garang sebenarnya lebih berbekas pada kita. garang tapi hatinya baik, bak kata org "nak memandaikan bangsa..."

Anonymous said...

biasanya yg nakal di sekolah lebih berjaya dlm hidup...tak tahu kenapa.