erin memang minat bela binatang peliharaan atau pets.
kalau boleh dia nak bela kucing. nak bela hamster. nak jaga arnab. pendeknya, semua dia nak bela. nak sediakan akuarium, bela ikan.
sebab sudut pandangannya mudah. dari pandangan yg satu segi, satu dimensi. maklumlah fikiran budak-budak. tahu nak main saje. tahu nak seronok la. dunia kanak-kanak memang begitu, tak payah nak fikir masalah atau hal yg berat-berat.
sabtu lepas, aku ke rumah kak lang.
kebetulan kak lang (erin panggil, mak lang )ada bela kucing. tapi seekor ajelah. buat main-main & peneman saja, katanya. lagipun nak elakkan rumah dikacau tikus.
baru-baru ni kucing tu beranak. hanya seekor yg hidup.
sejak dari aku sampai ke rumah kak lang, lepas makan hinggalah nak balik.
erin asyik leka bermain dengan kucing yg baru lahir tu. yg diletakkan dalam sebuah sangkar besi. sebab kucing comel tu baru lahir, matanya masih belum terbuka luas, berjalan pun setapak dua saja. selebihnya, tidur...
bila tiba masa nak balik. erin nampaknya keberatan sekali.
kakinya macam tak mahu melangkah. biasanya tak begitu.
kemudian dia berpatah balik, bila dah hampir sampai ke kereta.
duduk dekat dengan kucing.
"boleh tak bawak balik kucing ni, papa..." erin meluahkan apa yg terbuku di fikirannya.
"eh...mana boleh, ni kucing mak lang..." aku bagi alasan.
"takpelah, mak lang dah ada kucing besar, erin ambiklah kucing baby ni..." jawab erin.
"kalau erin mintak, mak lang mesti kasi la..." sambung erin penuh yakin.
"kucing ni kocik laei...dio nyusu ngan omak eh..." terang mak lang dengan loghat negorinya.
"ar ah la....baby ni menyusu. nanti tak dapat susu dia mati. dia belum boleh makan nasik atau ikan lagi. gigi pun takde. tengok tu, jalan pun belum pandai..." aku memperkukuh hujah kak lang.
"takpelah...kat rumah pun ada banyak susu. kalau takde papa belikanlah..." erin beri pendapatnya.
"mano buleh, dio kono menetek dongan omak eh. susu lain tak buleh pakai..." kak lang cuba jelaskan pada erin.
susah jugak nak jelaskan pada kanak-kanak yg belum tahu lumrah atau kejadian alami.
"kita pinjamlah emak dia. nanti dia dah besar sikit ada gigi. kita pulanglah emak dia kat mak lang" erin tak mahu mengalah.
"bukan mak lang tak bagi. anak kucing ni kocik laei. nanti dah bosar sikit, ekau ambiklah..." mak lang seakan mengalah. mungkin kesian dengan erin yg beriya-iya sangat tu.
aku tak menyokong atau menidakkan kata-kata kak lang.
aku tahu perlu ada satu kuasa veto lagi, iaitu wifey, untuk beri kebenaran kepada erin.
pada erin, nak bela kucing mudah aje. bagi makan dah cukup. bukannya komplikated sangat.
kenapa susah sangat nak benarkan dia bela kucing.
dengan muka yg kelat & masam, akhirnya erin mengikut aku balik dari rumah kak lang tanpa anak kucing itu.
"kenapa papa tak kasi bela kucing?" soalnya semasa dalam kereta, masih tak puas hati.
"ok papa tanya. kalau kucing tu berak atau kencing, erin nak cuci ke?" soalan cepu emas daripada ku.
erin terdiam. lama jugak dia termenung memikirkan jawapannya.
mungkin itu tugas berat untuknya.
"suruhlah dia pegi toilet...!" akhirnya erin menjawab, dengan tegas dan yakin!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 refleksi:
hahaha, berapa umur si erin ni.
bijak dia mematahkan hujah nko...!
Post a Comment