KELEMAHAN Barisan Nasional (BN) dilihat sebab utama kemerosotan sokongan dalam Pilihan Raya Umum 2008. Antara faktor penyumbang ialah BN dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tidak selesa terutama akibat kenaikan bahan api dan barangan keperluan harian.
Aspek keselamatan diri dan harta benda yang tidak terjamin di samping penyelewengan kuasa serta skandal-skandal yang melibatkan para pemimpin BN turut menyumbang kepada kemerosotan itu.
Pada masa yang sama, parti-parti komponen menghadapi masalah dalaman seperti MIC yang dilihat tidak berupaya meningkatkan taraf hidup kaum India. Parti MCA dan Gerakan pula dilanda krisis dalaman serta dilihat tidak mampu memperjuangkan kepentingan orang Cina. Manakala UMNO sendiri menghadapi krisis kepimpinan dan pergolakan dalaman.Rangkuman semua faktor ini menyebabkan BN tidak dapat mempertahankan prestasi cemerlang mereka seperti yang dicatatkan dalam pilihan raya 2004 dan sebelumnya.
Pendedahan secara ilmiah ini merupakan antara yang dibongkar dalam buku yang diusahakan oleh seorang ahli akademik Jabatan Geografi, Universiti Malaya, Amer Saifude Ghazali.
Secara umumnya, buku setebal 151 halaman dan mengandungi enam bab itu membincangkan pilihan raya dan tingkah laku pilihan raya Parlimen di negara ini dari sudut geografi sejak pilihan raya pertama pada 1959 hingga 2008.
Bagi memperkukuhkan hujah dan huraian, pengarang menggunakan data agregat keputusan pilihan raya Parlimen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Analisis buku ini dibuat berasaskan data kuantitatif yang komprehensif dalam mengupas persoalan yang dilontarkan dari aspek geografi.
Analisis statistik dalam bentuk rajah dan jadual keputusan pilihan raya serta foto suasana pilihan raya digunakan oleh pengarang bertujuan menambah pemahaman pembaca tentang kandungan buku ini.
Turut dibincangkan adalah pola dan karakter pengundian yang agak menarik dan menunjukkan kelainan dalam sejarah politik pilihan raya negara ini.
Dalam bab pertama, pengarang menghuraikan definisi dan elemen-elemen geografi pilihan raya yang terdapat dalam amalan pilihan raya di negara ini. Secara umumnya, geografi pilihan raya melihat hubung kait antara perlakuan berpolitik manusia dan kesannya ke atas ruangan yang dihuni oleh manusia.
Bab dua pula menghuraikan geografi keluar mengundi di kalangan pengundi dalam kawasan pilihan raya Parlimen. Menurut pengarang, salah satu faktor yang menyumbang kepada kadar keluar mengundi adalah kemarginalan kawasan pilihan raya. Kemarginalan diukur berdasarkan jumlah majoriti yang diperoleh oleh parti yang menang. Majoriti yang besar bermakna kemarginalan yang rendah dan sebaliknya, majoriti kecil membawa maksud kemarginalan yang tinggi. Menurut pengarang, kadar keluar mengundi juga boleh ditentukan oleh komposisi etnik yang terdapat dalam sesebuah kawasan pilihan raya.
Dalam bab tiga, perbincangan menjurus kepada geografi sokongan kepada parti-parti politik yang bertanding.
Pengarang menimbulkan persoalan sama ada para pengundi memberikan sokongan mereka kepada parti-parti politik berteraskan satu kaum ataupun kecenderungan untuk memilih parti politik yang berteraskan pelbagai kaum. Maka, buku ini cuba menjawab persoalan menarik itu.
Bab empat pula membincangkan tentang tingkah laku pilihan raya melibatkan aspek disproportionality dan bias dalam keputusan pengundian.
Menurut pengarang, oleh kerana sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah first-past-the-post iaitu pemenangnya adalah calon yang mendapat undi terbanyak, maka keadaan ini cenderung untuk menghasilkan disproportionality dan bias yang biasanya akan memberikan kelebihan kepada parti atau pakatan yang besar seperti BN.
Dalam bab lima, pengarang menganalisis tingkah laku pengundian dari sudut ekonomi dalam sistem pilihan raya di Malaysia.
Sebagai perbandingan pengarang mendapati lazimnya pengundi-pengundi di negara maju akan memberi sokongan ataupun menghukum parti pemerintah berdasarkan prestasi ekonomi yang ditunjukkan oleh parti tersebut.
Dalam sejarah sosiopolitik dan sosioekonomi negara ini, pilihan raya 1986 dan 1999 diadakan semasa prestasi ekonomi merudum. Namun, BN terus menang dalam kedua-duanya dan mengekalkan kuasa walaupun keputusan tidak begitu cemerlang dicapai pada 1999.
Dalam bab akhir, pengarang membincangkan secara khusus tentang pilihan raya 2008. Beliau mendapati corak dan pola pengundian dalam pilihan raya berkenaan agak berlainan berbanding pilihan raya sebelumnya, termasuk BN kehilangan majoriti 2/3 kerusi Parlimen, pembangkang menguasai lima buah negeri dan pengundi-pengundi bukan Melayu tidak memberi sokongan padu kepada BN.
Dalam perkaitan ini, pengarang menimbulkan dua persoalan yang wajar dipandang serius oleh BN. Pertama, adakah perkembangan yang berlaku pada pilihan raya 2008 membentuk fenomena politik baru dalam negara?
Kedua, adakah fenomena itu memberi kesan besar kepada suasana sosiopolitik negara pada masa hadapan khususnya pada pilihan raya umum ke-13?
Oleh itu, buku ini amat sesuai dimiliki, dibaca dan dirujuk oleh pemimpin dan ahli-ahli politik khususnya BN yang ingin mendalami, memahami serta mencari strategi baru bagi mengembalikan kepercayaan dan menarik pengundi kepada BN seterusnya, meningkatkan kemenangan pada pilihan raya akan datang.
Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai buku ini, layari laman web Penerbit Universiti Malaya di http://umpress.um.edu.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
0 refleksi:
Post a Comment