~ keranamu bola... ~

Dec 27, 2010


malam itu malam penentuan, walaupun ianya perlawanan timbal balik.
sebagai tuan rumah perlawanan pertama, pasukan malaysia perlu bawak 'bekal'. lagi banyak bekal lagi elok. paling kurang 2 gol seperti pertemuan dengan vietnam di semi final.

pasukan malaysia bertemu indonesia di final, selepas diratah dalam perlawanan pembukaan 1-5.
tetapi sejak itu, pasukan malaysia semakin matang & meningkat.
berdasarkan momentum semasa, malaysia memang berpeluang cerah.
indonesia tampak semakin longgar. kesemua perlawanan yg diharungi mereka di tempat sendiri.
sedangkan malaysia merantau ke jakarta, kembali ke kl & ke hanoi.

tapi aku dalam dilema. pada hari dan tarikh yg sama, aku dah ada perancangan lain untuk famili.
pertama aku perlu ke kuantan menhadiri majlis pertunangan anak sedara wifey.
sebelah petang, kami ada jamuan di rumah abang ipar.
sebelah malam, kami sepatutnya daftar masuk hotel & bersuka ria di taman tema di gambang resort.
maklumlah musim cuti sekolah. lagipun dah berjalan jauh ke kuantan, takkan nak pulang terus. penat pun tak hilang. lebih baik berehat & bercuti betul-betul.

jadi masa bila aku nak selitkan masa untuk tengok siaran langsung bola malaysia lwn indon?
takkanlah aku nak pentingkan diri demi minat aku & ketepikan perasaan gembira dan masa bercuti anak-anak & isteriku.
tentu saja mereka tak seronok bercuti sekiranya aku menghabiskan masa dengan menonton bola?

hati aku mula berbelah bahagi. petang itu sebaik sampai di resort, kami menghabiskan waktu petang 'bermain air' di kolam renang.
kemudian aku ajak mereka makan malam, lebih awal daripada biasa, sebagai 'strategi' untuk memenangi hati mereka.
ya, mungkin aku tidak bersikap jujur, kerana 'agenda' menonton bola masih dalam kepala & perancangan fikiran aku.

waktu, sudah menunjukkan pukul lapan. perlawanan akan bermula.
okeylah, aku beralah.
aku perlu kompromi. perancangan bertukar. aku akan layan mereka sejam ini.
bawak mereka bermain di fun fair & bermacam indoor games yg disediakan di resort.
supaya boleh aku menonton bola sekurang-kurangnya pada separuh masa kedua.
harap-harap first half takde gol. 0-0.
lagipun sejak beberapa perlawanan sebelum ini, malaysia ialah pasukan 2nd half. maksudnya pasukan muda & berstamina tinggi ini hanya akan meledak di sepruh masa kedua. di separuh masa pertama, mereka hanya bertahan & membaca congakan strategi lawan.
ya, harap-harap trend itu berterusan...!

sebaik masuk ke lapangan fun fair & indoor games, anak-anak aku menjadi sangat teruja.
tak sempat-sempat aku hendak membelikan tiket & token.
alamak...habislah aku.
jangkaan sejam mungkin lebih daripada itu. melepaslah aku. strategi gagal...!

rupa-rupanya aku bernasib baik. sangat bernasib baik, sebenarnya
berhampiran lapangan fun fair itu, aku lihat ramai orang berkumpul di satu ruang lapang.
mereka bersorak. sambil menonton layar gergasi!
ya, layar gergasi disedikan khas oleh pengusaha resort untuk peminat bola menyaksikan live malaysia-indonesia untuk final AFF suzuki.

lebih seronok lagi bila wifey dengan sportingnya berkata "you tengoklah bola, biar i layan budak-budak ni..."
hampir saja aku terlompat sambil bersorak yessss! ha ha.
tanpa berlengah aku serahkan tiket & token untuk wifey mengambil alih tugas.
segera aku mengambil tempat paling strategik.
ternyata malaysia menggila di separuh masa kedua seperti telahan ku.

3-0 sebagai berkat kesabaran & kejujuran aku...!

0 refleksi: