- kawan lama yang misteri -

Apr 27, 2011

malam tadi aku ke mydin. dekat aje dengan rumah. tujuan asal nak keluarkan duit daripada mesin atm. maklumlah, gaji baru masuk banyak 'perkara' perlu dilangsaikan. kata orang masuk sini keluar sana.


macam biasalah, bila dah keluar tu adalah 'pesanan penaja' daripada wifey. minta belikan kordial oren, ubat gigi dan sabun basuh yg hampir kehabisan. malas jugak rasanya nak masuk ke pasar raya mydin semata-mata nak beli barangan dengan jumlah kecil itu. pertama, sesaklah jugak hujung bulan begini. keduanya, nak beratur di kaunter bayaran. mujur jugalah ada kaunter ekspres untuk yg beli sikit.


dalam pada mencari barangan yg dipesan tu, aku ternampak kelibat seorang yg pernah aku kenal. sedang menjinjing bakul. aku berdiri saja, memerhati. manalah tahu kalau-kalau salah orang. "assalamualaikum, ni mat kan?" aku menyapanya sambil menghulur tangan untuk berjabat tangan. tanganku disambutnya.


memang tak salah lagi. mat rakan sekolah aku. kami tidaklah rapat sangat. yg aku tahu dia ada 'masalah' sikit di sekolah dulu. dia agak misteri orangnya. pendiam tak banyak cakap. kawan rapat pun tak ramai, suka menyendiri. raut wajahnya seolah-olah sentiasa dalam masalah. ada juga beberapa kawan yg cuba rapat dengannya, tapi dia terus juga kekal begitu.


seingat aku, dia mendaftar masuk ke asrama sekolah kami semasa tingkatan 5. lepas tu, dia ada 'masalah' dengan sekumpulan senior di asrama. tak lama kemudian dia keluar dari asrama. berulang alik ke sekolah setiap hari. sekolah kami bukan asrama penuh tapi semi-asrama.


dalam jangka masa pendek dia tinggal di asrama itu, dia pernah bergaduh dengan pelajar senior, didenda oleh warden kerana keluar asrama tanpa kebenaran, dan ditangkap sekuriti kerana keluar malam. selepas keluar dari asrama, aku dapat tahu, rekod kehadirannya ke sekolah agak terjejas. tapi tak siapa di antara kami, kawan-kawan seasrama mahupun sekelas dengannya, yg tahu apakah sebabnya dia bersikap sebegitu.


pertemuan kami malam tadi pun tidak mesra, malah dingin. sepatah aku bertanya, sepatah saja jawabnya. wajahnya masih macam dulu, macam orang bermasalah. apa yang boleh aku buat selain meminta nombor telefonnya. pertemuan singkat itu, disingkatkan lagi dengan kemisterian dirinya. dia berada di depan aku pada jasadnya sahaja, fikirannya entah ke mana. dia seakan langsung tak teruja, bertemu kawan lama. apalah yg nak aku harapkan lagi, dia masih seperti dulu. meski zaman sekolah kami sudah lama berlalu. mungkin hanya aku saja yg menganggapnya sebagai kawan, sedangkan dia tidak pula beranggapan begitu. entahlah...

1 refleksi:

rahimin said...

huh...misteri betul!