~ resensi 23 ~

Oct 20, 2010


Judul: Panorama Bahasa Melayu Sepanjang Zaman
Pengarang: Nik Safiah Karim
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Tahun terbitan: 2010
Sinopsis
Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gilang-gemilang. Sejak zaman silam lagi bahasa melayu sudah menjadi lingua franca bagi kawasan Kepulauan Melayu. Apabila Islam datang ke kawasan ini, bahasa Melayu berperanan sebagai alat untuk penyebarannya. Demikian juga, di pusat kebudayaan lama seperti Acheh dan Riau, kegiatan keintelektualan dijalankan dalam bahasa Melayu. Pada kemuncak kegemilangan Kesultanan Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan, bahasa perundangan, bahasa sastera dan bahasa perhubungan ahli masyarakat yang terdiri bukan sahaja daripada orang Melayu tetapi juga penduduk seluruh kepulauan Melayu dan orang asing yang datang untuk berniaga. Kini bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan empat negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dan dituturkan dengan luasnya oleh beberapa kelompok masyarakat lain seperti di selatan Thailand dan Kepulauan Cocos.
Buku ini memberi gambaran berkaitan ciri dan gaya bahasa Melayu, daripada bentuk yang pertama diketahui, iaitu pada batu-batu bersurat yang dipercayai dihasilkan pada abad ke-7. Kemudian meliputi perubahan sepanjang zaman dalam pelbagai variasi dan genre, hingga kini, zaman kemajuan ilmu-ilmu moden. Semoga tinjauan melalui buku ini menjadi bukti kepada generasi muda berkaitan kegemilangan bahasa kebangsaan kita.

0 refleksi: