Jeans biru dan sebuah masjid

Jan 20, 2010

kalau anda selalu berjemaah di masjid untuk solat 5 waktu, sentiasa berkopiah dan pakai jubah yang dibeli masa pergi haji dulu sekalipun...itu tak bermakna anda boleh pandang serong pada orang macam aku. salahkah aku yang pakai jeans biru ni, yang singgah di masjid dalam perjalanan pulang dari rumah orang kahwin. hanya untuk 'menumpang' solat zohor yang sedikit lewat kukerjakan.

adakah dengan singgahnya aku untuk solat di masjid anda ini, telah menyebabkannya tercemar dengan kekotoran. bukankah masjid untuk semua. rumah Allah.

aku faham dengan pandangan mata tajam anda & mimik muka mencebik, bila aku melangkah masuk ke dewan masjid itu lalu memilih satu sudut yang berkipas untuk solat. aku boleh saja solat jamak takdim atau jamak takhir. kerana perjalanan yang ku tempuh menjangkaui 2 marhalah. tapi aku lebih senang singgah di mana-mana surau, masjid atau R&R untuk singgah. manalah tahu itu semua ketentuan-Nya. kalau-kalau tak sempat sampai.

lagipun kita hidup di bumi bertuah, malaysia. negara aman damai. di mana-mana, di merata ceruk kita boleh bersolat. pastinya jauh lebih selesa berbanding saudara seIslam di bumi palestine misalnya.

tidak... aku tak sedikit pun kisah. akan pandangan tajam anda itu. anda boleh pandang aku sepuas hati. anda boleh memperlekehkan aku. anda boleh memandang rendah pada aku. peduli apa aku pada pandangan anda. yang penting pandangan Yang Maha Esa pada aku.ukuran kita di sisi-Nya bukan pada kopiah yang dipakai.

bagaimanakah anda hendak berdakwah. bagaimanakah anda hendak mentarbiah anak muda atau mat rempit. kalau anda merasakan diri anda terlalu baik & terlalu tinggi buat mereka. bukankah mereka sepatutnya didekati. bukan dijauhi.

kalaulah aku yang singgah sebentar di masjid ini pun, anda lontarkan dengan bibir panjang sedepa. apatah lagi mereka. Islam itu syumul. pegangan & panduan untuk semua urusan kehidupan. bukan hanya beribadat saja, hubungan sesama manusia jugak perlu dipelihara. kalau yang asas pun anda gagal, maknanya anda sudah pasti gagal di dunia, malah gagal juga di akhirat.

tidak, aku tidak berhak menghakimi anda. biarlah Yang Maha Mengetahui saja yang menghakimi anda...

2 refleksi:

Anonymous said...

kalau beginilah sikap mrk nescaya makin ramai yg menjauhi masjid.
aku jugak pernah alami peristiwa hampir sama. aku faham perasaan tuan punya blog

rahimin said...

manusia sama saja di sisi tuhan. yg membezakan ialah setinggi mana ketakwaannya.
jgnlah sombong dgn ilmu & bangga dgn ibadah yg kita lakukan.
jgn pandang rendah org lain.
berdakwah tanpa kira siapa.