Kemelut bukan hanya kurang dana

Dec 29, 2009

Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian/Isnin/28 Disember 2009

CADANGAN Persatuan Penulis Nasional (Pena) agar Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan dana khas untuk memperbanyakkan penerbitan buku ilmu dalam bahasa Melayu mendapat pandangan berbelah bahagi dan membongkar masalah yang mendasari industri penerbitan bahan ilmiah negara ini. Masalah dalam industri penerbitan bahan bacaan ilmu dalam bahasa Melayu di negara ini dikatakan bukan saja berlingkar pada kekurangan dana seperti dibangkitkan Presiden Pena, Datuk Baharudin Zainal, pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-46, baru-baru ini, tetapi juga infrastruktur sokongan khususnya penerbit universiti.

Meskipun sebahagian besar penerbit menyambut baik cadangan tokoh terbabit sebagai orang yang berpengalaman dalam industri penerbitan buku negara, mereka turut meminta masalah perjawatan, pengedaran dan pemasaran sama ada kepada pembaca dalam dan luar negara atau di kedai buku ternama, turut diambil kira. Pengarah Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, berkata penerbit di institut pengajian tinggi awam (IPTA) berdepan dengan masalah lebih besar, iaitu perjawatan kerana mereka memerlukan lebih ramai kakitangan pada semua peringkat gred. “Jika ada kakitangan mencukupi, setiap buku boleh diterbitkan dalam tempoh piawaian antarabangsa, iaitu sekurang-kurangnya 12 bulan bermula dari tarikh penghantaran manuskrip tanpa menafikan kerja mengedit manuskrip asal sebenarnya berat,” katanya kepada Sastera ketika diwawancara melalui telefon.

Baginya industri penerbitan ilmiah bahasa Melayu di negara ini masih berada pada peringkat awal berbanding Eropah, sekali gus memerlukan usaha untuk meningkatkan mutu penerbitan dengan memperbanyak dan memperkasakan kakitangan di penerbitan masing-masing. “Sebagai contoh, Penerbit USM hanya boleh menerbitkan 75 judul setiap tahun dan jumlah itu sudah optimum daripada sudut penggunaan tenaga kerja dan tuntutan pelanggan. Pelanggan dalaman apabila menghantar manuskrip, mahu ia diterbitkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan dan ini tidak mungkin dapat ditunaikan,” katanya yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim).

Ketua Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamaruddin Mohd Said, pula melihat usaha penyelesaian masalah penerbitan ilmiah bahasa Melayu perlu mengambil kira isu pasaran, sekali gus memerlukan kerjasama strategik dengan penerbit ilmiah di Indonesia. “Kami mahu menjual seribu naskhah di pasaran pun masih sukar meskipun karya itu berkualiti tinggi sehingga kita memerlukan kerjasama akademik antara dua negara berjiran yang sehingga kini belum mempunyai penerbitan bergandingan,” katanya.

Kerjasama akademik antara dua negara berjiran perlu memandangkan kedua-duanya berkongsi bahasa rasmi yang sama iaitu bahasa Melayu, tetapi masalahnya pembaca Indonesia sukar membaca dalam bahasa Melayu dan begitu juga sebaliknya kerana meskipun berkongsi bahasa serumpun, tetapi hakikatnya berbeza. Prof Kamaruddin menyarankan kerjasama strategik untuk memuatkan tulisan dalam dua bahasa itu dalam penerbitan berbentuk jurnal dan buku, sekali gus memperbesarkan pasaran penerbitan ilmiah selain masalah dana seperti dibangkitkan Pena. “Masalah juga timbul bila kita mahu pasarkan buku ilmiah bahasa Melayu di rangkaian kedai buku ternama kerana mereka menuntut komisyen 60 peratus sedangkan kita perlu membayar royalti kepada pengarang dan sagu hati kepada penilai serta menolak kos percetakan,” jelasnya.

Masalah komisen tinggi kedai turut diakui Pegawai Penerbitan (Editor), Penerbit Universiti Malaya (UM), Shaaban Mustapa, tanpa menafikan peruntukan dana lebih besar boleh membantu terutama penerbit universiti yang tidak memperoleh geran tahunan. “Penerbit UM umpamanya tidak mendapat geran tahunan dan kami perlu merancangkan secara rapi setiap penerbitan kerana kos penerbitan serta percetakan semakin meningkat, selain peruntukan itu turut digunakan untuk membayar gaji kakitangan. “Kami memang terpaksa berjimat untuk mendapatkan pusingan modal kembali. Meskipun kami mendapat keuntungan melalui buku terlaris di pasaran, tetapi ia seolah-olah ‘terlupus’ begitu saja memandangkan ia digunakan mengimbangi buku yang sukar dijual,” katanya.

Shaaban memberi contoh penerbit universiti luar negara yang berprestij pada pentas antarabangsa seperti Toronto University Press dan Oxford University Press sendiri turut mempunyai geran tahunan bagi menjalankan kegiatan penerbitan ilmiah mereka.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Sastera/20091228083652/Article

3 refleksi:

editor kampung said...

kos penerbitan tinggi sbbkan harga buku jg tinggi. kalau ada dana mungkin boleh jual dgn harga subsidi. tentunya galakkan org ramai membaca

tdevaraj said...

Royalti untuk penulis pun bukannya banyak mana. Ini menyebabkan kita kekurangan penulis.

Saya pernah berhadapan dengan staf akademik yang juga bertugas sebagai doktor perubatan. Bila saya beritahu royalti yang boleh diterimanya jika menulis buku, staf itu tidak berminat menulis, sebaliknya menyatakan jika dia berikan masa sebanyak itu untuk tugas rawatan (konsultasi), dia akan menerima ganjaran kewangan yang lumayan.

tg shaaban said...

editor kg,
kos penerbitan memang antara cabaran utama penerbit. harga mahal, pembaca tk beli. harga murah, penerbit tanggung risiko tk balik modal.

TD,
setahu aku takde penulis buku ilmiah yg kaya raya krn royalti bukunya.
soal sikap staf akademik sendiri yg menulis utk tujuan naik pangkat, utk kaut royalti adalah tersasar jauh dpd tujuan sebenar penulisan buku ilmiah.
tambahan pulak kecenderungan pengurusan universiti yg lebih menggalakkan artikel jurnal bukan buku sbg kriteria yg diiktiraf...